Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 4 Februari. - 4 Februari merupakan Hari Kanser Sedunia, yang disambut setiap tahun di seluruh dunia sebagai satu usaha global untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyakit kanser dan kepentingan pencegahan, pengesanan awal, rawatan, serta sokongan kepada pesakit.
Tahun ini menandakan tahun kedua sambutan Hari Kanser Sedunia dengan tema 'United by Unique' atau 'Bersatu Berasaskan Keunikan'.
Tema berkenaan bukan sahaja menyeru masyarakat untuk bersatu dalam perjuangan melawan kanser, malah menekankan kepentingan memahami keunikan setiap individu dari segi latar belakang, budaya, emosi dan keperluan perubatan.
Perkara berkenaan dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan sempena Hari Kanser Sedunia 2026.
Jelas Yang Berhormat, pemahaman terhadap keunikan ini membolehkan rawatan dan sokongan yang diberikan menjadi lebih berkesan, relevan dan bermakna serta dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit kanser.
Dalam hal ini, Yang Berhormat menegaskan setiap golongan masyarakat termasuk petugas kesihatan, keluarga, komuniti serta pihak berkuasa mempunyai tanggungjawab yang sama dalam menyokong pesakit dan memerangi penyakit kanser.
“Berdasarkan data yang diperoleh daripada Daftar Kanser Negara Brunei Darussalam (BDCR), pada tahun 2024, sebanyak 860 kes baharu kanser (357 lelaki dan 503 perempuan) telah direkodkan dalam kalangan warganegara dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam, dengan 88 kes baharu (24.6 peratus) dalam kalangan lelaki adalah disebabkan oleh kanser kolorektal, manakala 127 kes baharu (25.2 peratus) dalam kalangan perempuan adalah disebabkan oleh kanser payudara.
“Jumlah ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya, iaitu 828 kes pada tahun 2023. Selain itu, pada tahun yang sama, sebanyak 368 kematian akibat kanser telah dicatatkan," kata Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, kanser kolorektal merupakan jenis kanser yang paling kerap dihidapi dalam kalangan lelaki, diikuti dengan kanser prostat dan kanser paru-paru. Manakala, kanser payudara kekal sebagai kanser yang paling lazim dalam kalangan wanita, diikuti dengan kanser rahim (uterus), kanser kolorektal, dan kanser serviks.
Statistik ini tambah Yang Berhormat, menunjukkan bahawa walaupun terdapat beberapa jenis kanser yang sering berlaku, tumpuan pencegahan dan pengesanan awal boleh memberi impak besar dalam mengurangkan kes dan mortaliti.
Yang Berhormat turut menasihatkan, langkah-langkah pencegahan merupakan asas penting dalam mengurangkan risiko kanser. Setiap individu digalakkan mengamalkan gaya hidup sihat, seperti berhenti merokok dan mengelakkan asap rokok, mengekalkan pemakanan seimbang dan mengawal berat badan; dan melakukan aktiviti fizikal secara konsisten, sekurang-kurangnya 30 minit sehari, lima kali seminggu.
Dari aspek pengesanan awal pula jelas Yang Berhormat lagi, Kementerian Kesihatan giat melaksanakan kempen kesedaran mengenai kanser yang boleh disaring pada peringkat awal, khususnya kanser payudara, kolorektal, dan serviks.
Seterusnya Yang Berhormat menyarankan untuk mengikuti Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan (National Health Screening Programme), pemeriksaan ini disediakan secara percuma kepada semua warganegara dan penduduk tetap (stateless) NBD.
“Program ini membolehkan kanser dikesan pada peringkat awal, meningkatkan peluang rawatan yang lebih berkesan, dan mengurangkan risiko komplikasi atau kematian akibat penyakit kanser.
“Seterusnya, perjuangan melawan kanser tidak berakhir selepas rawatan. Ramai pesakit dan bekas pesakit kanser menghadapi cabaran seperti kesan sampingan jangka panjang serta tekanan emosi dan sosial.
“Oleh yang demikian, sokongan berterusan melalui kumpulan sokongan, bimbingan psikososial dan ruang selamat untuk berkongsi pengalaman amatlah penting.
“Kementerian Kesihatan akan terus memperkukuh pendekatan penjagaan kanser yang lebih inklusif dan berpusatkan pesakit, termasuk menangani cabaran akses rawatan serta beban kepada pesakit dan keluarga," tambah Yang Berhormat.
Walau bagaimanapun, Yang Berhormat menjelaskan bagi menangani kanser bukanlah tanggungjawab sektor kesihatan sahaja bahkan kejayaan dalam memerangi penyakit kanser memerlukan kerjasama dari pelbagai pihak, termasuk individu, keluarga, komuniti, tempat kerja serta generasi muda.
Yang Berhormat menekankan sokongan sosial, keprihatinan dan sikap tidak menghakimi memainkan peranan besar dalam memberi kekuatan kepada mereka yang sedang menghadapi ujian kanser. Bagi penghidap kanser dan bekas pesakit kanser, ketabahan dan kesabaran mereka inilah yang memberikan inspirasi kepada seluruh masyarakat.
Mengakhiri perutusan, Yang Berhormat menyarankan kepada ahli keluarga dan para penjaga, pengorbanan yang telah diberikan adalah tunjang kepada proses penyembuhan dan kesejahteraan insan yang tercinta. Marilah kita menjadikan Hari Kanser Sedunia 2026 sebagai satu dorongan untuk memperkukuh empati, memelihara maruah dan kesejahteraan pesakit kanser, berganding bahu sebagai masyarakat yang prihatin dan bertanggungjawab, di mana setiap individu memainkan peranan dalam menyokong perjuangan melawan kanser. Dengan semangat 'Bersatu Berasaskan Keunikan', kita dapat membina masyarakat yang inklusif, penuh harapan, dan mampu menghadapi apa jua cabaran penyakit kanser.